Masjid, Surau Seluruh Sabah Adakan Solat Hajat Malam Ini – Mohd Arifin

KOTA KINABALU: Semua masjid dan surau di Sabah diminta mengadakan solat hajat, bacaan Yasin serta doa selamat bermula selepas Maghrib malam ini.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi merangkap Exco Agama dan Pendidikan Negeri, Datuk Mohd Arifin Mohd Arif, berkata langkah itu bagi memohon perlindungan Allah SWT untuk keselamatan negeri dan rakyat Sabah.

Beliau berkata arahan tersebut telah disampaikan kepada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Sabah (JHEAINS) yang akan mengkoordinasi pelaksanaan di seluruh negeri.

“Doa ini diadakan sebagai ikhtiar memohon kesejahteraan serta perlindungan daripada malapetaka seperti banjir dan bencana alam yang lain,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Arifin menyeru umat Islam di Sabah untuk sama-sama menghadiri majlis tersebut di masjid dan surau berdekatan.

Katanya, selain usaha fizikal kerajaan menangani bencana, doa dan munajat juga penting sebagai benteng rohani.

“Marilah kita bersama-sama memohon agar negeri Sabah khususnya, dan Malaysia amnya, sentiasa bernaung dalam rahmat, keamanan dan kesejahteraan,” katanya.

Program solat hajat ini dijangka diadakan serentak di seluruh daerah, dengan penglibatan masyarakat setempat bagi mengeratkan ukhuwah serta meningkatkan rasa kebersamaan.