LABUAN : Perbadanan Labuan menetapkan sasaran agar 90 peratus daripada keseluruhan premis makanan memperoleh Gred A di Wilayah Persekutuan Labuan bermula tahun ini.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd Sukuran Taib berkata, Perbadanan Labuan akan memastikan sasaran itu dapat dicapai sebelum menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026.
Katanya, wilayah ini bukan sahaja dikenali sebagai bandar bersih malah setiap premis makanan perlu sentiasa berada dalam keadaan bersih.
“Ini untuk memastikan setiap premis selesa untuk dikunjungi pelanggan sekali gus mencapai status yang ditetapkan oleh Perbadanan Labuan.
“Secara tidak langsung ia akan menambah nilai imej kepada Labuan khususnya dalam kalangan pelancong yang ingin berkunjung ke Labuan,” katanya.
Mohd Sukuran berkata, Perbadanan Labuan membuat ketetapan kepada semua premis makanan agar mematuhi syarat kebersihan sebelum memperbaharui lesen Perniagaan mereka.
“Antara syaratnya termasuk tandas premis, dapur, perangkap minyak dan sisa makanan serta siar kali hendaklah berada dalam keadaan bersih.
“Kita mahu agar peniaga sentiasa komited dalam memastikan hasrat ini dapat dilaksanakan sepenuhnya,” jelas Mohd Sukuran.
Menurutnya, pada tahun lalu sebanyak 200 premis di Labuan dinilai berbanding hanya 186 premis pada tahun 2023.
“Daripada jumlah itu, sebanyak 97 premis atau 48.5 peratus berjaya memperolehi gred A, manakala 103 premis atau 51.3 peratus mendapat gred B.
“Kita akan mempamerkan premis memperoleh gred A di skrin LED Perbadanan Labuan sebagai satu penghargaan kepada pemilik makanan,” kata Mohd Sukuran.
