MEMBAKUT : Seorang pekerja kontrak maut selepas dipercayai terkena renjatan elektrik ketika menjalankan aktiviti pemasangan talian internet berhampiran kabel elektrik, di Kampung Sinoko Jalan Bambangan, di sini petang semalam.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kimanis, Penolong Penguasa Bomba, Mohd Johainin Ruslan berkata, mangsa lelaki berusia 19 tahun itu disahkan meninggal dunia di hospital oleh pegawai perubatan.
Katanya, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 4.20 petang, semalam.
“Ketika sampai di lokasi kejadian mendapati seorang lelaki terkena renjatan elektrik disahkan oleh rakannya.
“Mangsa dipercayai terkena renjatan ketika menjalankan aktiviti pemasangan talian internet berhampiran kabel elektrik,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Mohd Johainin berkata, mangsa dihantar ke hospital oleh rakan sekerjanya sebelum menantikan ketibaan pasukan bomba dan disahkan meninggal dunia.
“Operasi ini dijalankan membabitkan lima anggota bersama sebuah jentera bergegas ke lokasi kejadian.
“Selepas memastikan keadaan selamat, operasi ditamatkan pada jam 5.12 petang,” kata Mohd Johainin.
