Mohd Sukuran dilantik Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan baharu

LABUAN : Pengarah Bahagian Perancangan Fizikal Negara di Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia), Mohd Sukuran Taib  dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan (PL) yang baharu berkuatkuasa 15 November 2024.

Beliau menggantikan Rithuan Mohd Ismail yang tamat kontrak pada 31 September yang lalu.

Mohd Sukuran 52, memiliki pengalaman luas dalam bidàng perancangan bandar selama 29 tahun.

Sepanjang perkhidmatan beliau memainkan peranan penting dalam merangka serta melaksanakan dasar dasar pembangunan Fizikal Negara.

Mohd Sukuran anak kelahiran Kelantan berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Perancangan Perumahan dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Ijazah Sarjana Muda Perancangan Bandar dan Wilayah dari Universiti Teknologi MARA (UiTM).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa menyampaikan watikah pelantikan itu disaksikan Ketua Pengarah Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP), Datuk Indera Noridah Abdul Rahim di Putrajaya di sini semalam.

Pelantikan itu selaras dengan subseksyen 10 (1) Akta Perbadanan Labuan 2011 (Akta 609).

Menurut Zaliha beliau berharap agar Mohd Sukuran mampu menerajui Perbadanan Labuan dengan penuh integrati dan dedikasi.

“Pengalaman dan kepakaran beliau mampu memastikan kesinambungan pembangunan yang mampan.

“Ini secara tidak langsung mampu memancu kecemerlangan Wilayah Persekutuan Labuan seiring dengan Kuala Lumpur dan Putrajaya, berlandaskan Rancangan Struktur Labuan 2040,” jelas Zaliha.

Sementara itu, Zaliha turut mengucapkan setingi tinggi penghargaan kepada Mohd Rithuan atas kepimpinan dan sumbangan beliau sepanjang menjawat jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan.