Kerajaan komited lahirkan belia berilmu, kemahiran, kepemimpinan – Hajiji

KOTA KINABALU : Kerajaan negeri komited kepada pembangunan belia di negeri ini dalam usaha melahirkan generasi muda yang mempunyai kualiti ilmu, kemahiran dan kepemimpinan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, pembangunan modal insan termasuk belia adalah pemacu signifikan kepada pertumbuhan ekonomi negeri.

Katanya, ,ketersediaan tenaga kerja berkemahiran tinggi penting untuk menyokong peralihan sektor ekonomi ke arah aktiviti berasaskan pengetahuan, teknologi dan inovasi.

“Sebab itu sebanyak RM100.17 juta diperuntukkan pada tahun ini untuk perbelanjaan mengurus serta pembangunan belia dan kemajuan sukan di Sabah.

“Daripada jumlah itu, sebanyak RM16.89 juta diperuntukkan untuk melaksanakan pelbagai program dan aktiviti kepimpinan, kemahiran dan keusahawanan yang menjurus kepada pemerkasaan belia bagi mencapai kesejahteraan sosioekonomi sejajar dengan Dasar Belia Sabah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Makan Malam Ulang Tahun Ke 40 Pergerakan Pemuda Malaysia (YMM) Cawangan Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini semalam.

Teks ucapannya dibacakan Menteri Belia dan Sukan Negeri, Datuk Ellron Angin.

Hajiji berkata, golongan belia merupakan tenaga penggerak dalam pelbagai bidang termasuklah berkaitan politik, ekonomi, kebudayaan dan pendidikan.

“Memandangkan peranan penting belia dalam pembangunan negara dan negeri serta sebagai bakal pemimpin pada masa hadapan, usaha bagi mewujudkan organisasi belia yang mantap dan sistematik amatlah diperlukan. 

“Justeru, YMM memainkan peranan penting bersama-sama kerajaan dalam pembangunan belia di negeri ini,” katanya.