Ruddy sampaikan sumbangan kepada 170 penduduk di Kg Salimpodon Laut Pitas

PITAS :  Seramai 170 Ketua Isi Rumah (KIR) menerima bantuan bakul makanan sebagai persediaan  dalam menyambut perayaan Hari Raya Aidilfiti di Kampung Salimpodon Laut Pitas di sini semalam.

Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Ruddy Awah berkata, sumbangan ini merupakan acara kelazimnya dalam memastikan masyarakat kurang berkemampuan dapat dibantu tanpa menunggu musim perayaan.

Katanya, beliau juga menyampaikan  beberapa set kelengkapan kain kafan kepada Masjid Salimpodon Laut sebagai simpanan awal untuk menghadapi keperluan mendesak di masa depan.

“Kita mengharapkan dengan sedikit sumbangan ini akan mampu meringankan beban mereka dalam membuat persediaan ketika menyambut hari raya yang akan tiba tidak lama lagi. 

“Sebagai wakil rakyat yang lahir di sini adalah menjadi tanggungjawab saya menyantuni mereka sambil mendengar permasalahan rakyat sehingga di peringkat akar umbi,” katanya di sini hari ini.

Ruddy merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pitas berkata, usaha jni selaras dengan saranan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor yang mahu agar  setiap wakil rakyat turun padang berjumpa sekali gus menyantuni rakyat di peringkat akar umbi.

“Sepanjang Ramadan, saya telah menjelajah hampir keseluruhan  kampung di DUN Pitas ini sambil bertemu rakyat untuk bersama-sama berbuka puasa.

“Inilah adalah menjadi kelazimannya saya untuk menghadiri majlis berbuka puasa ini selain dapat menyalurkan bantuan serta merapatkan hubungan silaturrahim bersama rakyat,” jelas Ruddy.

Hadir sama, Penolong Pegawai Daerah Perpaduan Daerah Kota Marudu dan Pitas, Mohd Fazri Basri serta Pengerusi Masjid Kg, Salimpodon Laut, Misbah Madarun.