9,241 orang PATI ditahan sejak awal tahun ini

KUALA LUMPUR: Sejumlah 9,241 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan, manakala 13,127 orang lagi diusir dalam operasi penguatkuasaan Jabatan Imigresen di seluruh negara sejak sejak Januari hingga 8 Julai lalu.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud, berkata sebanyak 2,011 operasi diadakan dalam tempoh itu dengan seramai 53,195 individu diperiksa.

“Seramai 99 majikan turut ditahan dalam tempoh itu, manakala mereka yang diusir membabitkan 10,418 lelaki; 2,276 wanita; 289 kanak-kanak lelaki dan 144 kanak-kanak perempuan,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Khairul Dzaimee berkata, berdasarkan statistik jabatan, mereka yang dihantar pulang ke negara asal menerusi program rekalibrasi dalam tempoh 21 Disember 2020 hingga 8 Julai lalu berjumlah 80,865 orang.

Sementara itu, beliau berkata, 63 pekerja asing iaitu 35 dari Myanmar dan masing-masing 14 rakyat Indonesia serta Bangladesh ditahan dalam serbuan Op Patuh, di sebuah penempatan pekerja asing kawasan projek binaan di Yarra Park, Sungai Petani, Kedah pagi tadi.

“Mereka ditahan dalam operasi berakhir jam pada 2.20 pagi itu didapati melakukan kesalahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 15(1)(c) akta sama,” katanya. –

— BERNAMA