39,417 calon duduki pepeperiksaan SPM di Sabah, JPN ambil langkah proaktif hadapi banjir: Mistirine

KOTA KINABALU: Seramai 39,417 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Sabah menduduki peperiksaan itu yang bermula hari ini.

Daripada jumlah itu, seramai 39,250 calon menduduki peperiksaan di 315 Pusat Peperiksaan (PP) dan 167 adalah Calon Berkeperluan Khas (CBK)

Calon SPM bagi Sekolah Kerajaan, Sekolah Bantuan Kerajaan dan Sekolah Agama Bantuan Kerajaan adalah 35,266 orang dengan bilangan PP sebanyak 256, manakala Sekolah Agensi Kerajaan (Maktab Rendah Sains Mara) pula seramai 406 calon di empat PP.

Sementara itu, seramai 227 calon bagi Sekolah Menengah Agama Negeri di empat PP manakala Sekolah Swasta Berdaftar dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) pula seramai 1,215 calon di 16 PP diikuti calon Persendirian seramai 2,136 di 35 PP di Sabah.

Pengarah Jabatan Pendidikan Sabah, Datuk Dr. Mistirine Radin berkata pihaknya telah menyediakan keperluan dan kelengkapan secukupnya bagi keselesaan calon-calon SPM seperti bilik peperiksaan atau dewan mengikuti Prosedur Operasi Standard (SOP) ditetapkan oleh Lembaga Peperiksaan KPM dan Kementerian Kesihatan.

“Sebagai kesiapsiagaan khususnya bagi menghadapi bencana alam seperti banjir, pihaknya mengambil beberapa langkah penting untuk keperluan calon peperiksaan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, keadaan cuaca tidak menentu terutama hujan yang kadang-kadang lebat dan berterusan dikhuatiri boleh membawa keadaan bencana banjir dan tanah runtuh.

Justeru itu, katanya, langkah-langkah proaktif di semua peringkat khususnya Pejabat Pendidikan Daerah dan sekolah telah disediakan serta mampu digerakkan segera apabila diperlukan.

Mistirine menambah, semua Pegawai Pendidikan Daerah telah diarah mengaktifkan Jawatankuasa Keselamatan Peperiksaan Awam Daerah masing-masing.

*Info

Bilik Gerakan SPM Jabatan Pendidikan Negeri Sabah bertempat di Sektor Pentaksiran dan Peperiksaan, Tingkat 7, Rumah Persekutuan Kota Kinabalu

No.Tel: 088-513583 (kaunter). Masa operasi: 8.30 pagi hingga 5 petang (Isnin-Jumaat)