3,000 perwakilan dan pemerhati akan hadir Persidangan Agung Gagasan Rakyat di SICC pada Isnin ini

KOTA KINABALU : Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) akan mengadakan Persidangan Agung Tahunan pada 13 November ini (Isnin) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) Kota Kinabalu.

Ketua Penerangan Gagasan Rakyat Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata Persidangan Agung julung kali selepas Gagasan Rakyat dipimpin oleh Datuk Seri Panglima Hajiji Noor sebagai Presiden Parti akan dihadiri 3,000 perwakilan dan pemerhati daripada 74 bahagian seluruh Sabah dan Labuan.

“Saya selaku Ketua Penerangan Gagasan Rakyat Pusat ingin mengucapkan selamat datang dan selamat bersidang kepada semua perwakilan dan pemerhati di Persidangan Agung Tahunan Gagasan Rakyat,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata Persidangan Agung ini akan bermula dengan persidangan sayap-sayap parti iaitu Pergerakan Wanita, Pemuda dan Beliawanis pada jam 8 pagi sehingga jam 12 tengah hari yang dirasmikan oleh Timbalan Presiden Datuk Seri Panglima Masidi Manjun dan Persidangan Agung Tahunan Gagasan Rakyat induk akan bermula jam 2 petang sehingga jam 6 petang.

Katanya ucapan dasar sulung Hajiji selaku Presiden Parti pastinya dinantikan dengan penuh semangat oleh ahli-ahli parti.

“Amanat dan visi perjuangan yang akan diungkapkan oleh Presiden parti bakal menjadi azimat dan pedoman dalam mengharungi cabaran di gelanggang politik tanah air khasnya di Sabah,” katanya.

Nizam berkata Menerusi PAT ini akan dirumuskan hala tuju dan harapan Gagasan Rakyat sebagai parti yang mewakili suara rakyat Sabah, kini dan masa hadapan.

Katanya respon dan sambutan rakyat kepada Gagasan Rakyat amat baik dan ia berkembang lebih pantas daripada yang dijangkakan.

“Sifatnya yang sederhana tetapi konsisten, bercirikan berbilang kaum tanpa dipengaruhi oleh sentimen kaum dan agama menjadikan Gagasan Rakyat diterima baik di seluruh Sabah.

“Perjuangan Sabah di Utamakan (Sabah First) sebagai salah satu landasan perjuangan parti adalah aspirasi rakyat Sabah demi kemakmuran negara Malaysia yang lebih adil,” katanya.

Menurutnya sambutan dan penerimaan misi Gagasan Rakyat, “Rumah Kita, Kita Jaga” akan terus disemarakkan dan diperkukuhkan sebagai asas perjuangan, kerana ianya sangat menyentuh hati rakyat.

Justeru itu, beliau berkata Gagasan Rakyat akan terus memperkukuh Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bersama anggota parti parti komponen GRS untuk terus menjadi pilihan rakyat Sabah pada pilihan raya negeri akan datang.

Katanya diharapkan rumusan PAT ini, akan menyuntik semangat di semua peringkat sebagai upaya memperkukuh parti dan menjadikan Gagasan Rakyat sebagai Suara Rakyat Sabah.

Menurutnya pencapaian dan kejayaan kerajaan perpaduan GRS PH plus yang dipimpin Hajiji sebagai Ketua Menteri, menjadi penanda aras Gagasan Rakyat mendapat sokongan rakyat Sabah.

Nizam berkata kehadiran Gagasan Rakyat bersama GRS adalah jawapan jitu pada kehendak rakyat Sabah yang mahukan sebuah parti tempatan yang mewakili mereka dalam persada politik tanah air.