227 PTI di hantar pulang ke negara asal

TAWAU : Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah menghantar balik seramai 227 pendatang tanpa izin (PTI) warga Indonesia dipindahkan dari Pelabuhan Tawau di sini semalam.

Pengarahnya, Datuk SH Sitti Saleha Habib Yusoff berkata, kesemua PTI terbabit dipindahkan menggunakan pengangkutan laut ke Pelabuhan Nunukan, Terminal Tunon Taka, Indonesia.

Katanya, pemindahan itu membabitkan seramai 107 lelaki, 71 wanita dan 49 kanak-kanak berusia 12 tahun kebawah.

“Program ini melibatkan pemindahan tahanan warganegara Indonesia daripada Depot Imigresen Kota Kinabalu dan Papar dengan kerjasama Konsulat Jenderal Republik Indonesia Kota Kinabalu (KJRI).

“Ini adalah program pemindahan siri ke-19 untuk kategori Usir melalui laut bagi tahun 2024 ke negara asal masing-masing menggunakan pengangkutan Feri Purnama Express dan Labuan Express,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.

SH Sitti Saleha berkata, semua PTI berusia lingkungan dua hingga 82 tahun ini melakukan pelbagai kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan–Peraturan Imigresen.

“Hukuman yang dikenakan adalah berdasarkan Akta Imigresen dan proses perundangan negara sehingga ke tindakan pemindahan keluar dari negara.

“Jabatan Imigresen Sabah akan terus komited melakukan operasi penguatkuasaan dari semasa ke semasa,” jelas SH Sitti Saleha.

Kenurutnya, tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang tidak mematuhi peraturan dan undang-undang negara.

“Pemindahan PTI akan dilakukan setelah melalui semua tindakan penguatkuasaan dan proses undang-undang negara serta mendapat pengesahan daripada kedutaan negara masing-masing.

“Operasi Pemindahan ini adalah sebahagian daripada operasi berterusan yang dilakukan oleh JIM Sabah bagi tahanan warga asing yang ditempatkan di semua Depot Imigresen di seluruh Sabah,” kata SH Sitti Saleha.