KOTA KINABALU : Seramai 187 pendatang tanpa izin (PTI) ditahan membabitkan serbuan di tiga lolasi penempatan warga asing sekitar ibu negeri, di sini awal pagi tadi.
Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Sabah, Datuk SH Sitti Saleha Habib Yusoff, berkata dalam operasi ini, seramai 260 individu diperiksa yang terdiri daripada warga asing dan tempatan.
Katanya, dalam operasi bermula jam 1 pagi tadi seramai 187 PTI ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen.
“Daripada jumlah itu, 41 adalah lelaki, 43 wanita, 56 kanak-kanak lelaki dan 46 kanak-kanak perempuan, kesemuanya warga Filipina, manakala seorang lelaki warga Indonesia turut ditahan.
“Semua yang ditahan dibawa ke Pejabat Bahagian Penguatkuasa JIM Kota Kinabalu untuk proses dokumentasi dan siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Sitti Saleha berkata, semua ditahan ini dipercayai melakukan kesalahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah.
“Operasi seumpama ini akan terus dijalankan dari semasa ke semasa bagi membanteras kehadiran PTI yang melanggar undang-undang negara.
“Sehingga kini, JIM Sabah sudah memeriksa 15,092 individu dalam pelbagai operasi di seluruh negeri, dengan 2,777 tangkapan dilakukan serta 6,290 PTI dihantar pulang ke negara asal masing-masing,” jelasnya.