KENINGAU : Seramai 141 pendatang tanpa izin (PTI) ditahan dalam operasi dijalankan membabitkan dua kawasan penempatan warga asing di sekitar daerah Keningau di sini semalam.
Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Sabah, Datuk Sitti Saleha Habib Yussof berkata, kesemua mereka terdiri daripada 10 lelaki 38 wanita, 38 kanak-kanak lelaki dan 31 kanak-kanak perempuan warganegara Filipina.
Katanya, selain itu 16 lelaki, 6 wanita serta 2 kanak-kanak perempuan membabitkan warganegara Indonesia ditahan.
Katanya, mereka ditahan selepas disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
“Kesemua warganegara asing yang ditahan telah dihantar ke Depot Tahanan Imigresen Papar, Sabah untuk siasatan dan tindakan lanjut.
“Operasi ini dijalankan berdasarkan aduan awam dan risikan yang dijalankan selama lebih kurang satu bulan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sitti Saleha berkata, pihaknya akan meneruskan tindakan tegas ke atas mana-mana pihak didapati melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966.
“Ini termasuk Peraturan – Peraturan Imigresen 1963 dan Akta Pemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM).
“Tindakan tegas juga akan diambil terhadap mana-mana pihak yang menggaji dan melindungi PATI,” jelas Sitti Saleha.
