11 jenis perniagaan dibenarkan beroperasi

KUALA LUMPUR: Mesyuarat Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik hari ini mengumumkan kebenaran operasi 11 jenis perniagaan di bawah sektor pekerjaan dan ekonomi dengan syarat vaksin ditetapkan di negeri Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN) bermula Jumaat ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata kebenaran itu membabitkan operasi kedai barang dan perkhidmatan fotografi, kedai barangan terpakai; kedai bunga atau nurseri; kedai kraftangan dan cenderahati.

“Selain itu turut dibenarkan ialah kedai antik; kedai alat permainan; kedai permaidani; kedai kandungan kreatif dan peralatan industri kreatif; kedai outdoor termasuk peralatan perkhemahan, dan memancing; kedai kosmetik, penjagaan kulit dan minyak wangi serta kedai tembakau termasuk vape dan rokok elektronik,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Selain itu, kerajaan juga mengumumkan kebenaran operasi bagi pembekalan mineral dan bahan batuan termasuk pasir serta pergerakan dari tenemen mineral kuari atau tapak pengorekan ke premis atau tapak projek pembinaan infrastruktur awam utama.

Selain tu, kerja pembinaan bangunan serta premis industri dan perkhidmatan juga dibenarkan.

Turut mendapat kebenaran adalah penjagaan dan penyelenggaraan di atas tenemen mineral, kuari dan tapak pengorekan serta di premis Lesen Mineral dan Lesen Memproses Mineral bagi tujuan keselamatan (safety and security) untuk mengelakkan risiko kemalangan.

Selain itu, pengoperasian tenemen, mineral dan tapak pengorekan bagi tujuan penghasilan mineral dan bahan batuan termasuk pasir.

Pengeksportan mineral dan bahan batuan termasuk pasir sungai ke luar negara dan perladangan berasaskan kayu dan kenaf juga dibenarkan.