10 kampung Sabah terpilih untuk fasa pertama program pembasmian miskin tegar

TUARAN: Sepuluh kampung di Sabah dipilih untuk fasa pertama Program Basmi Miskin Tegar Keluarga Malaysia (BMTKM) bermula bulan depan.

Ketua Menteri Datuk Hajiji Noor yakin program dikendalikan Unit Perancang Ekonomi (EPU) di Jabatan Perdana Menteri membantu menangani isu kemiskinan di Sabah.

Kampung Penimbawan di Sulaman sebagai antara 10 kampung di Sabah untuk fasa pertama program itu.

“Sebagai wakil rakyat kawasan itu, saya bersyukur kerana Penimbawan dipilih untuk program ini,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sulaman berkata, Penimbawan, sebuah lokaliti di kawasannya, dahulunya sebuah perkampungan air kemudian dipindahkan rumah tersebut ke atas tanah.

Ketua Menteri berkata demikian pada taklimat BMTKM Kampung Penimbawan di Pejabat Daerah di sini hari ini.

Pada taklimat itu, Hajiji berkata 23 ketua isi rumah miskin tegar (KIRT) telah dipilih di Penimbawan.

Di bawah BMTKM, setiap KIRT akan diberi bantuan yang disesuaikan dengan profesion pilihan mereka.

Di Penimbawan, kebanyakan peserta memilih untuk terus menjadi nelayan manakala ada yang mahu menceburi bidang penternakan madu kelulut

(lebah madu tanpa penyengat), penternakan ayam dan itik serta operasi kedai runcit sebagai profesion mereka.

Sementara itu Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapha berkata, 20 lagi kampung di Sabah akan dipilih untuk BMTKM di bawah fasa kedua dan ketiga tahun ini.

Sehingga 15 April lalu, EPU di Jabatan Perdana Menteri menyenaraikan 196,640 ketua keluarga di Malaysia untuk berada dalam kategori miskin tegar (KIRT).

“Tertinggi ialah Sarawak dengan 58,611 KIRT diikuti Sabah dengan 31,598 KIRT, Kelantan (28,553) dan Kedah (15,964).

“Di bawah inisiatif yang digariskan dalam Bajet Persekutuan 2022 yang dibentangkan Perdana Menteri, Kerajaan mahu mengisytiharkan Malaysia sebagai negara sifar tegar menjelang akhir 2025,” katanya.

Mustapha berkata, Kerajaan Persekutuan menyasarkan untuk melaksanakan BMTKM di 1,000 lokaliti di seluruh negara dalam tempoh tiga tahun akan datang.

KIRT dalam kategori miskin tegar adalah mereka yang mempunyai jumlah pendapatan bulanan isi rumah di bawah RM1,200.

Selain Penimbawan, lokaliti lain di Sabah yang dipilih untuk fasa pertama BMTKM ialah Kampung Penangah di Tongod; Kampung Bongkol (Pitas); Kampung Sembirai (Kota Belud); Kampung Tandek (Kota Marudu); Kampung Pelakat (Sipitang); Kampung Binsulok (Beaufort); Kampung Tetabuan (Beluran); Kampung Kaingaran (Ranau); dan Kampung Lima (Nabawan).