1 maut, 5 cedera kemalangan di Kota Marudu

KOTA MARUDU : Seorang lelaki maut manakala lima lagi cedera terbabit dalam kemalangan Jalan Raya di Jalan Manggaris Kota Marudu di sini hari ini.

Menurut Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Sabah Sabah berkata, mangsa dipercayai tersepit dalam kenderaannya namun berjaya dikeluarkan oleh pasukan Bomba sekali gus disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Katanya, dalam kejadian pada jam 8.54 pagi tadi mangsa berusia 52 tahun memandu kenderaannya jenis proton saga bertembung dengan pacuan empat roda.

“Mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut manakala pemandu serta penumpang kenderaan pacuan empat roda terbabit hanya mengalami cedera ringan di hantar ke Hospital Kota Marudu untuk menerima rawatan lanjut.

“Tiga penumpang dipercayai kanak-kanak bersama seorang wanita dewasa turut mengalami kecederaan kemudiannya di hantar ke hospital untuk rawatan seterusnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut jurucakap tersebut, pemeriksaan menyeluruh dijalankan bagi memastikan tidak ada bahaya lain dan operasi ditamatkan pada jam 9.40 pagi tadi.