KOTA KINABALU : Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bukan sahaja membawa suara tempatan malah terbukti berjaya memimpin Sabah ke arah kestabilan serta pembangunan berlandaskan dasar berteraskan Halatuju Sabah Maju Jaya (SMJ).
Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, ketegasan GRS untuk tidak mengabaikan aspirasi akar umbi akan sentiasa menjadi keutamaan.
Katanya, apatah lagi ketika wujud perbincangan politik di peringkat nasional yang kadangkala gagal mengambil kira sensitiviti serta konteks politik di negeri ini.
“Saya menyambut baik kenyataan dikeluarkan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor merangkap Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
“Beliau memberi keutamaan terhadap parti tempatan dalam menentukan hala tuju politik di negeri ini.
Beliau berkata, sebagai Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), beliau sepenuhnya menyokong pendirian parti tempatan harus menjadi teras kepada pentadbiran di negeri ini.
“Ini kerana hanya parti tempatan yang benar-benar memahami realiti, budaya dan keperluan rakyat Sabah.
“Kami menghormati peranan parti nasional dalam kerangka Kerajaan Perpaduan, namun kerjasama politik mesti berpaksikan prinsip saling menghormati serta bukan meminggirkan kekuatan dan suara tempatan.
“Mana-mana percubaan untuk membentuk kerjasama baharu tanpa melibatkan GRS atau tanpa melalui saluran muafakat sedia ada adalah tindakan pra-matang yang tidak mencerminkan keikhlasan kepada rakyat Sabah.
“Gagasan Rakyat kekal komited memperkukuh GRS sebagai platform utama memperjuangkan kestabilan politik, kedaulatan suara tempatan, dan kemajuan berterusan buat negeri Sabah,” kata Nizam.